Thursday, January 27, 2011

Lawatan Pelajar Ke Tasik Dayang Bunting

Pada hari sabtu, 30 hb. Oktober 2010; Kelab Rekreasi telah mengadakan lawatan ke Tasik Dayang Bunting. Lawatan ini memakan masa selama 4 jam. Pelajar diiringi oleh 7 orang guru termasuk Encik Azmi Hussein, Penolong Kanan Ko-kurikulum. Seramai 40 orang pelajar telah menyertai program ini. Para pelajar dan guru berkumpul di perkarangan Jeti berdekatan dengan Hotel Awana untuk menaiki bot.

Pelajar dibawa ke Pulau Beras Basah dan seterusnya dibawa menikmati pemandangan pulau untuk melihat helang menangkap ikan( eagle feeding). Pelajar dan guru dibawa menaiki bot laju ke lokasi dimana bentuk struktur bukit berbentuk seakan-akan seorang perempuan bunting yang sedang berbaring. Menurut lagenda, inilah asal nama Tasik Dayang Bunting. Lawatan berakhir pada jam 1.00 petang. Para pelajar dan guru mengaku berpuas hati dengan lawatan kali ini.

Program Pecutan Terakhir SPM 2010

Pada bulan November ini, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang akan menghadapi Peperiksaan SPM.Pihak sekolah telah mengadakan program pecutan terakhir SPM 2010 bagi pelajar tingkatan 5 . Pelajar tingkatan 5 dikumpulkan di dewan semerbak supaya proses pengajaran dan pembelajaran lebih selaras dan menyeluruh.

Pelajar diberi pendedahan tentang teknik menjawab soalan SPM daripada ketua-ketua Panitia dan guru-guru subjek tertentu. Penekanan diberikan kepada teknik dan tips untuk mendapat markah yang lebih dalam peperiksaan.

Guru dari setiap subjek diberi slot masa yang mencukupi untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat diberi fokus yang lebih. Pelajar hanya didedahkan kepada 2 matapelajaran dalam sehari. Ini untuk memastikan fokus dapat diberi dengan sepenuhnya kepada subjek yang dipelajari.

Untuk subjek elektif , pelajar dibawa oleh guru matapelajaran tersebut untuk pergi ke makmal dan kelas masing-masing. Bagi matapelajaran teras, pelajar berkumpul semula di dewan.

Madah Pelajar

SMKK KE ARAH KECEMERLANGAN

Pn Hjh Norini tunjang Semerbak,

SMKK sungguh indah,

Ilmu dituntut sesungguh hati,

Wira wirawati mengukir nama harum mewangi,

“We create the champions” dalam genggaman,

SMKK juara misi dihajati

Terbang indah burung merpati,

Saying kenari menyisih diri,

Impian menggunung kecemerlangan dicari

Memartabatkan SMKK ke serata negeri

Putra putri mengukir nama,

Menuntut ilmu bekalan dewasa,

Kedawang boleh misi bertapa,

Sahut putri, geraklah putra

Anjung sejahtera tempat santapan,

Disambut mesra para tetamu,

Putera puteriku anak wawasan,

Genggamlah kecemerlangan niatkan jitu,

Majlis kemuncak hari anugerah,

Berjaya pendidik dalam kenangan,

Seiring bergerak sederap melangkah,

SMKK puncak kearah kecemerlangan

Ruyung dipecah sagu diperoleh,

Semerbak boleh!!!!

-Rifkie 5 Inovatif-

LANGKAHKU

Aku berjalan

Longlai dan terus berjalan

Dalam kegelapan,

Sunyi dan sepi menjadi teman

Tanpaku tahu

Kemana arah tujuku,

Setiap kali kaki ini melangkah,

Sejuta kepedihan menyusuk di hati

Wajahku basah,

Hujanan manik mutiara membajiri pipi

Aku masih berjalan

Dalam kegelapan yang sama

Masih begitu,

Masih menangis

Aku sepi tanpamu

Jiwaku meronta,

Semangatku pudar

Aku manusia,

Aku perlu dikasihi

Aku mahu disayangi

Aku terus menyusur langkah,

Lalu terhenti dari menyusur langkah,

Dengan esakan kecewa

Lututku rebah ke bumi yang rekah,

Wajahku tunduk di bumi itu

Menahan esakan,

Aku rindu kasihmu, ayah

Kemana lagi,

Harusku berjalan mencari kasihmu

Dengarlah bisikan hatiku

Pulanglah, ayah..

Ikhlas untuk Ayah

-Norlizawati Tarmizi-

Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-53

Setelah sebulan menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini, pihak sekolah telah menganjurkan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ke-53 pada peringkat sekolah. Majlis ini diadakan pada 30hb. Ogos bertempat di Pentas Bestari dan dirasmikan oleh Tuan Pengetua Pn Hajjah Norini Bt Wan Awang. Kesemua pelajar SMK Kedawang terlibat dengan majlis ini kecuali pelajar tingkatan tiga yang terlibat dengan program gerak gempur PMR.

Majlis dimulakan dengan Bacaan doa oleh Ustaz Firdaus Pazim. Seterusnya Encik Mokhtar membaca watikah daripada Yang dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Majlis diteruskan dengan pembacaan watikah Tuan Alimuddin Mohd. Dom . Watikah ini dibaca oleh Encik Shamsul Amri bin Ismail.

Majlis diserikan lagi dengan bacaan sajak patriotik oleh wakil pelajar dan diikuti dengan penceritaan peristiwa kemerdekaan Tanah Melayu. Tuan pengetua seterusnya merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali ke-53.

Majlis diteruskan dengan persembahan nyanyian lagu Bahtera Merdeka oleh pelajar 4 Inovatif. Kumpulan nyanyian koir ini dikendalikan oleh Pn Zakiah bt Azid dan seterusnya Ustaz Fakhrur Razi Abdullah menyerikan lagi majlis dengan bacaan sajak bertajuk “Rumah Usang”. Majlis diakhiri dengan nyanyian 3 lagu patriotik oleh para guru dan pelajar.

Majlis Qiyamullail Perdana 2010

Fazilah Che Rus

Pada 31hb. Julai 2010, Sek Men Keb. Kedawang telah mengadakan Majlis Qiyamullail Perdana 2010. Majlis ini diadakan di Dewan Seri Semerbak selama dua hari dan satu malam bermula 4.30 petang dan berakhir pada jam 10.00 pada hari berikutnya.

Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran ibubapa dan waris para pelajar. Penceramah jemputan adalah Ustaz Abdullah Khairi Bin Hj Haroon. Menurut pelajar-pelajar, ceramah yang disampaikan beliau sangat menyentuh hati dan perasaan. Disamping mengambil nasihat dan tips-tips peperiksaan, ramai yang mengaku tertarik dengan cerita-cerita Ustaz Abdullah Khairi yang menghiburkan dan lucu.

Pelajar digerakkan pada pukul 4.00 pagi dari tidur untuk melakukan ibadat-ibadat qiyamullail. Program Qiyamullail dimulakan dengan solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih dan diakhiri oleh solat witir. Majlis telah dikendalikan oleh Ustaz Firdaus Pazim yang turut mengimamkan solat.

Dari Meja Pengetua

Bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan izin dan limpahnya dapat sekali lagi kita menerbitkan buletin Semerbak ini. Terima kasih diucapkan kepada warga kerja buletin yang bekerja keras untuk melakarkan segala memori yang berlalu untuk diterbitkan dalam Majalah ini .

Dengan penerbitan buletin ini, segala aktiviti yang pihak sekolah jalankan dapat dipaparkan untuk tatapan umum dan dapat dijadikan kenangan untuk tahun-tahun seterusnya.

Dalam Mengharung arus perdana, pihak sekolah telah bekerja keras untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pelajar dan guru supaya SMK Kedawang terus maju ke hadapan selaras dengan visi sekolah “ Sekolah penyayang menjana insan cemerlang”

Akhir kata, harapan dari saya semoga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga hari yang mendatang SMK Kedawang akan lebih cemerlang dari semua bidang yang diceburi.

Sekian

Wasalam.

Lawatan Pelajar Dari Thailand

Pada 26hb. Julai 2010,sekumpulan pelajar dari Thailand telah datang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang untuk program Kem Bahasa Inggeris 2010. Program ini dianjurkan oleh Sekolah Menengah Kampaeng Wittaya, Thailand dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang. Tiga puluh orang pelajar telah dipilih untuk menyambut kedatangan pelajar dan guru dari Thailand. Kedatangan pelajar dari Thailand disambut dengan meriah oleh paluan kompang. Antara program yang dijalankan pada hari tersebut adalah pertunjukan dari kedua-dua sekolah. Pelajar dari Thailand telah menunjukkan bakat masing-masing dalam permainan alat muzik tradisional dan juga tarian tradisional Thailand. Mewakili Sekolah Menengah Kedawang adalah nyanyian solo, tradisional melayu, pertunjukan kompang dan nasyid.

Pengacara majlis pada hari tersebut adalah Cik Noor Farhana bt Abdul Latif. Antara program yang dijalankan adalah permainan tradisional melayu. Pelajar diberi peluang berinteraksi dengan pelajar dari Thailand dan mengajar mereka cara untuk bermain permainan tradisional melayu seperti congkak dan batu seremban.

Pelajar-pelajar dari Thailand dibekalkan dengan sebuah buku soal-selidik, mereka harus menyoal selidik pelajar-pelajar Kedawang. Pihak Sekolah Menengah Kedawang menyediakan cenderamata kepada guru pengiring dan pelajar, majlis dimulakan dengan menyerahkan cenderamata kepada guru pengiring. Sebelum menyerahkan cenderamata kepada pelajar Thailand,aktiviti bertukar kraftangan sesama pelajar dijalankan. Setelah itu acara menyampaikan cenderamata sesama pengetua diadakan di anjung perdana . Sebagai konklusi, aktiviti ini akan diteruskan sebagai “twin-program” antara dua sekolah untuk merapatkan lagi hubungan antara dua buah Negara.